Ramalan cuaca mendung, hujan tidak bahayakan bot di perairan
DUNGUN: Cuaca diramalkan mendung waktu pagi dan hujan sebelah petang hari ini dan esok sepanjang pusingan Akhir Grand Slam GP Joran 2011 di Kuala Dungun, di sini, tetapi tiada amaran ribut berikutan keadaan ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter dengan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer sejam tidak membahayakan bot di perairan.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia, berkata walaupun amaran ribut tidak dikeluarkan, peserta dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera mencari perlindungan jika keadaan memerlukan selain menghubungi pihak berkuasa maritim untuk nasihat dan bantuan.
Sementara itu, Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah menjangkakan 1,300 peserta menyertai pertandingan Kategori Pantai, termasuk 22 peserta dalam kedudukan ranking.
“Peserta kedudukan ranking kategori ini bakal ditempatkan dalam kawasan khas untuk memisahkan mereka dengan peserta lain, manakala 12 peserta ranking Kategori Laut pula akan menaiki dua bot khas. Mereka turut dibezakan melalui pakaian dengan peserta biasa,” katanya.
Kaunter pendaftaran Kategori Pantai akan dibuka di Pantai Teluk Lipat bermula jam 10.30 pagi hingga 10.30 malam ini, bersambung sehingga 5 pagi esok. Yuran kategori ini sebanyak RM100 dan peserta digalakkan mengisi borang asal dalam akhbar Berita Harian dan Harian Metro untuk layak memenangi cabutan bertuah berupa motosikal.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mohamad Abd Ghani, berkata pihaknya menyediakan 50 bot untuk membawa peserta Kategori Laut memulakan cabaran, manakala 10 bot lagi sudah bersedia sekiranya diperlukan penganjur.
“Sekiranya jumlah peserta bertambah dan diperlukan penganjur, tiada masalah kita menambah bot,” katanya selepas menyaksikan pemilik bot terbabit menandatangani borang persetujuan di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, semalam.
Mohamad berkata, pihaknya secara dasar sudah memberi syarat dan peraturan kepada pemilik bot dan akan memanggil mereka sekali lagi untuk taklimat terakhir sebelum pertandingan berlangsung, antaranya memastikan bot dalam keadaan baik dan selamat digunakan termasuk lampu keselamatan berfungsi.
“Pemilik juga perlu melabuh dan menggerakkan bot apabila diarahkan peserta selain bot mempunyai ruang dan kelengkapan memasak untuk peserta. Ini bagi menjaga nama baik penganjur dan persatuan selain memastikan keselesaan dan kemudahan kepada peserta sepanjang seharian beradu tenaga,” katanya.